Friday, 22 January 2016

Antara Star Wars: Force Awakens dan Point Break



(ulasan ini mungkin menyentuh sensitiviti penganut-penganut Jedi)
Aku tak tahu apa-apa yang menarik tentang Star Wars selain daya futuristic dan imaginasi canggih George Lucas, dengan CGI nya. bagi aku filem yang menarik bukan sekadar jenama / trend / label / nama (atau bom sana, bom sini). Itu bukanlah filem yang menarik, filem yang menarik mestilah mempunyai plot yang menarik dan kejutan-kejutan yang mengejutkan.
Aku tak jumpa apa-apa yang mengejutkan dalam Star Wars yang terbaru, atau Force Awakens ini. Hero kulit hitam, Finn (lakonan John Boyega) digandingkan dengan heroin perempuan, Rey (lakonan Daisey Ridley) yang kemudian menjadi hero baru selepas kematian Finn memang menggembirakan feminist – feminist filem (yang juga bergembira dengan hero perempuan dalam Hunger Games; Mocking Jay). Adalah terlalu teruk citarasa filem kita jika sekadar pengangkatan hero bergender kita, atau berwarna kulit seperti kita, atau kau mesti kecewa gila jika kau menyangkakan watak protagonist/antagonist dalam filem Raid (Indonesia) diberikan peranan besar.
Bagi aku ini adalah tektik untuk mengumpul crowd lebih ramai (Indonesia) dengan pengangkatan mereka sebagai Kanjiklub (yang tidak ada apa-apa peranan penting), juga pengangkatan hero kulit hitam, hero perempuan, serta Harrison Ford yang pasti menggamit peminat-peminat setia Star Wars. Han Solo mati kena bunuh anak sendiri, so what?
Bahkan adalah janggal bila Finn kulit hitam tidak bercium mulut dengan Rey (kulit putih). Bukan aku nak sangat tengok mereka bercium, tetapi adalah begitu jarang sekali hero (lelaki) kulit hitam akan mendapat awek/bercium mulut dengan heroin kulit putih. Ketika kematian Finn, Rey hanya mencium dahinya sahaja.
Point Break; No Rules, No Limits
Trailer dan posternya yang membuat aku ‘break’ seketika. No rules, no limits. Seperti yang disebutkan di atas, kita sering terpedaya dengan nama (pelakon/penerbit), jenama, dan yang sewaktu dengannya. Seperti banyak quote, tak semestinya filem itu bagus. Itu adalah filem quoting. Filem yang bagus, mestilah mempunyai plot yang berkesan, dan kejutan-kejutan yang tak terfikirkan. dan Point Break ada benda-benda ini.
Filem yang baik tak semestinya bersiri. Filem itu boleh berdiri sendiri, cuma ada satu/sebijik/wahid/tak memerlukan siri. Terlalu banyak filem begini yang bagus-bagus, dan begitu banyak filem bersiri (yang hanya bagus pada siri-siri tertentu, dan hancus pada siri-siri yang lain), dan pastinya filem-filem bersiri bertujuan untuk melariskan lagi jualan tiket ke panggung tanpa apa-apa plot yang berbeza (balik-balik cerita bom sana, bom sini, romen sana, romen sini).
Merompak dari mereka yang kaya, untuk mereka yang miskin; bukan falsafah Robin Hood seorang
FBI terkejut mendapati ada dua siri rompakan dalam jangka masa yang tak lama. Sekitar beberapa hari gitu. Motif rompakannya juga pelik. Seperti rompakan dalam kapal terbang yang menerbangkan beratus-ribu keping wang kertas, dan helaian-helaian wang kertas itu jatuh sekeping demi sekeping kepada rakyat miskin di Mexico. Apa motifnya?
Mereka adalah penggemar-penggemar sukan ekstrem selain ‘penyembah-penyembah’ kepada idealis Ozaki, seorang pahlawan ekosistem. Ozaki percaya, bahawa kita perlu memberi balik kepada dunia, apa yang telah kita ambil. Kita harus berikan kepada dunia, lebih dari yang kita ambil.
Kata Utah, pelatih yang memohon borang untuk menjadi FBI, dia kenal cara pattern rompakan ini. Ini bukan sebarang rompakan. Ini bukan semata-mata rompakan dari yang kaya, untuk yang miskin. Ini lebih dari itu. Ini dilakukan untuk mencapai nirwana. Apa? merompak untuk mencapai nirwana? what the hell?
Manusia mengambil terlalu banyak, memulangkan balik terlalu sedikit, antara inti kepada filem ini (falsafah Bohdi)
Utah, kehilangan kawan dalam sukan motosikal (scrambler)nya. Dia kemudian berhenti daripada sukan motosikal tersebut dan kemudian bertahun-tahun seterusnya mencuba nasib untuk menjadi FBI. Dia terkejut pada ujian pelatihannya, ada kes rompakan yang hasil rompakan itu dicurahkan kepada rakyat miskin. Selepas mendapat persetujuan dan berjaya meyakinkan bosnya, bekas penggemar sukan ekstrem ini mahu memburu perompak-perompak ini.
Sementara Ozaki menumpukan kepada cuma idea, Bohdi yang dilahirkan di Venezuela (wilayah yang memilih sosialisme sebagai cara hidup yang berbeza dari cara hidup borjuah-isme seperti Amerika) seperti kata Samsara (nama awek), Bohdi pergi kepada tindakan. Sampai bila kita nak beridealis-idealis?
‘Bullshit justification?’
Kata Pappas, (FBI), bahawa perompak-perompak sentiasa mempunyai ‘bullshit justification’ untuk menghalalkan/mengabsahkan ‘perbuatan jahat’ mereka. seperti merompak dari yang kaya, dan mengagihkan untuk yang miskin, atau memusnahkan lombong emas, dan memberikan semula kepada mother of earth.
Tetapi itu tergantung sebenarnya. Falsafah kemodenan telah menjahanamkan otak kita bahawa adalah salah mencuri dari yang kaya, kerana yang kaya bekerja bermati-matian (adalah lawak maha besar) untuk mengumpul kekayaan mereka. mereka-mereka yang telah dirampas kemandirian berfikirnya, mengatakan adalah kerja mengarut sahaja memusnahkan lombong emas, dan berhenti melombong emas, dunia adalah berada di bawah tapak kaki manusia.
Utah sendiri keliru terhadap dirinya sendiri. Adakah sukan ekstrem semata-mata sukan eksrem? Baginya cara Bohdi lebih radikal dan Ozaki lebih ideal. Terdapat banyak lagi cara untuk menyelesaikan segala permasalahan manusia.
‘apa yang kau cari? Nirwana? Bukan. Bukan tentang lapan benda kejadah semua tu. Tetapi bagaimana cara kita menghormati alam. Ini lebih essence. Ini lebih penting.’
Seorang demi seorang rakannya mati terbunuh dalam sukan ekstrem tersebut. Tetapi itu semua bukanlah penting menurut Bohdi. See you soon, kata Bohdi, meyakini bahawa kita akan berjumpa lagi. Yang paling penting, walaupun Bohdi menyedari bahawa Utah adalah polis (FBI) yang mahu memburunya, dia mahu menyelamatkan Utah. Baginya Utah telah diselewengkan dengan maksud-maksud hidup. Polis-polis adalah batman (vanguard kepada orang-orang kaya). Mereka adalah kaum moralist yang berkhidmat (dibayar gaji) oleh orang-orang kaya.
Watak Bohdi lebih kuat dari watak Utah. Dia meyakini kesatuannya dengan alam, dan takda sesiapa yang paksa kau memilih jalan ini. Sebaik sahaja kau gugur, kau gugur, tanpa perlu keguguran itu ditangisi/disesali oleh yang lain. Semua orang memilih jalan masing-masing.
Bohdi adalah watak manusia primitif dulukala sebelum terbit babad kemodenan. Bohdi percaya bahawa jalan penyelamatan terhadap segala malapetaka yang berlaku di dunia fana ini adalah dengan pengorbanan diri. maka kerana itu, sukan-sukan ekstrem memang antara sukan-sukan yang mencabar, membahayakan diri sekaligus berpotensi membunuh diri. segala bala bencana suatu waktu dahulu yang dinisbahkan kepada alam semesta (kemarahan jagat) yang marah terhadap dosa-dosa dari tangan kotor manusia telah bersemadi dalam diri Bohdi.
Antara Force Awakens Star Wars dengan Point Break, aku mengundi Point Break walaupun sebenarnya meskipun Point Break bukan dibikin dalam studio dan tak banyak CGI (palsu/plastic) seperti Star Wars, dan sukan-sukan dalam Point Break walau apapun ‘ bullshit justification’ Bohdi, adalah sukan-sukan yang memerlukan sponsor orang kaya seperti Al-Fariq. Dan bila Al-Fariq (jutawan muda Arab, seperti biasa) dibekukan akaunnya, maka Bohdi menjadi seorang yang gila membunuh diri dalam laut 17 bulan kemudian.

No comments:

Post a Comment